Anwar

Malaysia-Thailand jalin kerjasama, promosi destinasi menarik untuk tingkat jumlah pelancong – PM Anwar

Kerajaan Malaysia dan Thailand menyatakan komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama terkait soal pelancongan di antara kedua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuannya dengan rakan sejawatan dari negara itu, Srettha Thavisin di Phuket semalam, membincangkan beberapa perkara penting yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“PM Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung negara secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand.

“Selain itu, kami berdua turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pertemuan tersebut juga membincangkan kesepakatan kedua-dua negara untuk pembangunan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini.

“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, situasi terkini keadaan banjir di kedua-dua negara turut dibincangkan secara bersama dan Anwar memaklumkan akan meninjau sendiri situasi banjir di Kelantan esok.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button