KPDN minta restoran tidak gunakan minyak masak peket subsidi
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengingatkan bahawa pembelian minyak masak peket hanya untuk kegunaan isi rumah dan tidak boleh dibeli digunakan bagi tujuan komersial seperti pengusaha restoran.
Pengarah KPDN WPKL, Ariffin Samsudin berkata, pemilik restoran perlu memohon permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan barang kawalan di premis-premis restoran sekiranya melebihi kuantiti disyaratkan.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan di restoran sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang sedia ada khususnya berkaitan barangan kawalan bersubsidi.
“Kita tidak akan bertoleransi dan bertolak ansur. Mana-mana yang menggunakan minyak masak peket bersubsidi atau barangan kawalan lain diminta hentikan serta-merta.
“Setiap kali kita masuk restoran dan ziarah dan kalau ada menggunakan barang kawalan barang kawalan bersubsidi, kita akan mengambil tindakan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Ariffin berkata, KPDN WPKL menegaskan mana-mana individu atau pihak yang ingkar bakal menerima hukuman berat seperti mana ditetapkan undang-undang.
Menerusi Permit Barang Kawalan Berjadual, kuantiti barangan tersebut antaranya tepung gandum melebihi 12 kilogram (kg), gula melebihi 12 kg, mintak masak melebihi 12 kg, Gas Petroleum Cecair melebihi 42 kg, semua Gred Bahan Api Diesel melebihi 20 liter dan semua Gred Petrol melebihi 20 liter.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menahan dua pemilik restoran di Jalan Ipoh kerana disyaki menggunakan barangan kawalan bersubsidi tanpa permit KPDN.
Menurutnya lagi, sebanyak 76 kg minyak masak dan 24 unit serbuk teh dengan anggaran nilai RM1,100 turut disita.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Pencatuatan 2011.
Baca lagi: