Semasa

KKM komited benteras produk produk farmaseutikal menyalahi undang-undang

Kerajaan menyekat akses ke atas 1,675 laman sesawang yang dikesan menjual produk farmaseutikal menyalahi undang-undang.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A Halim berkata, pihaknya mendapati sebanyak 76 peratus daripada laman sesawang yang dikesan menjual produk farmaseutikal menyalahi undang-undang adalah menerusi platform e-dagang.

“Kesemua pautan ini telah diadukan kepada MCMC, penyedia platform media sosial dan e-dagang untuk disekat akses dan diturunkan kandungan.

“Berlaku peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan ubat batuk yang dijual oleh penjual yang tidak berkelayakan atau tidak diberi kuasa,” katanya KKM dalam kenyataan semalam.

Beliau sementara itu memaklumkan pihak berkuasa telah merampas pelbagai produk berkenaan bernilai lebih RM500,000 dalam Operasi Pangea Ke-16 yang dijalankan di seluruh negara dari 3 hingga 10 Oktober lepas.

Operasi oleh National Central Bureau/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga jelasnya telah merampas 13,552 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM132,498 di semua pintu masuk utama negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

BACA LAGI: KKM laksana 5 strategi kekang penularan COVID-19

“Produk paling banyak dirampas di pintu masuk negara adalah kosmetik iaitu sebanyak 2,359 unit, produk merawat penyakit gastrik (2,243) dan steroid (1,673) manakala ubat penahan sakit (1,465) dan suplemen kesihatan (1,343) pula dirampas di pintu masuk utama dan pusat pengedaran mel tahun ini.

“Kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas ini adalah berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India.

Selain itu, sebanyak 96,691 produk farmaseutikal menyalahi undang-undang bernilai RM417,291 telah dirampas dalam serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan,” tambahnya yang turut memaklumkan sebanyak 12 fail siasatan dibuka untuk tindakan lanjut.

Norhaliza melalui kenyataan sama turut berkata, KKM komited dalam memastikan pengendalian rangkaian bekalan, penggunaan, pemasaran dan penyiaran iklan-iklan produk farmaseutikal dikendalikan dengan mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Related Articles

Back to top button