Polis digesa siasat dakwaan babitkan dana RM700 juta oleh kerajaan terdahulu
Satu laporan telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu.
Dipetik laporan media, laporan itu difailkan di Balai Polis Setapak kira-kira 2 petang semalam oleh pegawai kepada Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Noor Adam.
“Perbelanjaan tersebut besar…kita (rakyat) mahu tahu ke mana perginya perbelanjaan RM700 juta, ada sumber mendakwa ada penyalahgunaan kuasa melibatkan bekas petugas perdana menteri sebelum ini.
“Kami mahu polis menyiasat perkara ini dan diikuti siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata Lokman Adam dipetik Bernama.
BACA LAGI: AMK buat laporan, dakwa pemimpin PAS buat kenyataan 3R
Media sebelum ini melaporkan kerajaan terdahulu membelanjakan dana sebesar itu untuk menguar-uarkan pencapaian dan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini menegaskan rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta ini telah dibelanja, sama ada perbelanjaan itu direkod dengan baik atau jika berlaku sebarang perkara yang langgar undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah mengesahkan menerima laporan mengenai isu tersebut.
“Kita akan membuat siasatan, termasuk menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.