Politik

‘Rakyat memang tunggu giliran Tun M dan Tun Daim disiasat’ – Puad Zarkashi

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa rakyat sememangnya menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Puad Zarkashi berkata, perkara itu dirasakannya tidak pelik kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah melalui pengalaman seumpama itu sebelum ini.

“Rakyat memang tunggu giliran Tun M (Mahathir Mohamad) dan Tun Daim disiasat. Dia kena terima hakikat. Dia tidak kebal. Biar SPRM siasat. Kekayaan Daim bocor bila viral ‘Kertas Pandora’.

“SPRM kata siasatan terhadap Tun Daim berdasarkan Kertas Pandora. Baru rakyat tahu dua anak Daim memiliki syarikat BVI (British Virgin Island) ketika berumur sembilan dan 12 tahun.

“Banyak misteri mengenai kekayaan Daim. Apakah kandungan ‘Kertas Pandora’ itu benar? Biar SPRM siasat. Kita pun hairan kenapa Daim tidak tersenarai 50 orang terkaya dalam Forbes Malaysia. Apa rahsianya?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, SPRM menjalankan siasatan terhadap Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram adalah berlandaskan kepada undang-undang serta akta sedia ada.

Menurut SPRM, kertas siasatan dibuka pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

“Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.

Tambah Puad Zarkashi, sekiranya Tun Daim disiasat, direman dan didakwa ianya akan menjadi tajuk besar bagi tahun 2024 ini selain kes Najib Razak yang lepas.

“Rumah diserbu, akaun disita, satu malam ditahan di pejabat SPRM, didakwa, dibicara dan akhirnya dipenjara. Muhyiddin tidak lama lagi akan dibicara,” katanya.

Related Articles

Back to top button