Akta Omnibus bakal digubal tahun ini
Kerajaan dijangka akan menggubal Akta Omnibus pada tahun ini bagi membenarkan perkongsian data dan penyimpanan awan dalam kalangan agensi kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron berkata, pelaksanaan integrasi data daripada setiap agensi kerajaan perlu disokong melalui punca kuasa perundangan perkongsian data yang kukuh dan mampan.
Setiap pangkalan data jelasnya tertakluk kepada peraturan dan akta yang berkaitan menyebabkan kesukaran perkongsian data antara agensi.
“Sebahagian pangkalan data sedia ada pula lebih bersifat silo dan ‘non-interoperable’ antara satu sama lain.
“Keadaan ini menyulitkan perkongsian dan pengintegrasian data serta menyebabkan proses penyelarasan data Padu mengambil masa yang panjang,” katanya.
Nor Azmie sebelumnya menyampaikan ucapan pembukaan sempena majlis peluncuran Pangkalan Data Utama (Padu) di Putrajaya pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi menangani cabaran itu, sesi libat urus yang berterusan pada pelbagai peringkat, termasuk oleh menterinya, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali telah diadakan.
Malah memorandum persefahaman (MoU) turut diadakan bersama agensi berkaitan bagi membolehkan perkongsian data.
“Risiko keselamatan dan kebocoran maklumat terperingkat juga sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Oleh itu, aspek keselamatan data dan siber turut diberi perhatian serius melalui pengukuhan pembangunan sistem serta kerjasama strategik dengan semua pihak yang berkaitan,” tambahnya.
BACA LAGI: KSM teliti tambah baik akta perlindungan sosial untuk individu bekerja sendiri
Sementara itu, sebagai mengulas isu yang mungkin dihadapi golongan tertentu untuk mengemaskini data ke dalam sistem PADU, Nor Azmie menjelaskan beberapa rancangan telah dibuat bagi menanganinnya.
“Berdasarkan jurang digital yang masih wujud, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kita menjangkakan akan ada sebahagian rakyat yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan Internet.
“Perkara ini telah diambil kira dalam perancangan pelaksanaan Padu melalui penyediaan perkhidmatan kaunter khusus yang berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.” jelasnya.
Buat masa ini, pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) selain pasukan petugas khusus juga akan diwujudkan bagi membantu individu yang berada di kawasan terpencil dan tidak mempunyai akses Internet.
“Pasukan ini akan dilengkapi dengan perkhidmatan Starlink bagi membolehkan pendaftaran dilaksanakan secara dalam talian,” tambahnya lagi.