SPRM siasat dakwaan rasuah dana program Keluarga Malaysia – sumber
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ia untuk meneliti bagaimana kelulusan serta dan dikeluarkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti oleh dua pentadbiran terdahulu.
Menurut sumber, SPRM juga sedang mengumpul keterangan yang dapat membantu siasatan bagaimana dana itu diluluskan dan dibelanja.
“Setakat ini, SPRM mendapati terdapat tiga identiti terbabit bagi menyalurkan dana program Keluarga Malaysia iaitu Laksana, Sepadu dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Dalam siasatan ini, isu yang disiasat SPRM adalah untuk menentukan berapa jumlah sebenar diluluskan dan siasatan awal setakat ini ia membabitkan dana sebanyak RM300 juta sahaja bukan RM700 juta,” katanya dipetik Harian Metro.
Sumber berkata, fokus SPRM ketika ini membabitkan program Keluarga Malaysia di mana isu paling penting untuk melihat bagaimana wang itu dibelanjakan.
“Siasatan juga ingin melihat adakah syarikat menerima projek itu adalah monopoli atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan sedang dijalankan namun enggan mengulas lanjut.
Menurut sumber, pihak berkuasa terbabit sudah ke MOF dan JPM untuk proses siasatan dan mengumpul maklumat serta mendapatkan dokumen.
“SPRM sudah memulakan siasatan awal berhubung isu penggunaan wang RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.
Pada November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM500 juta dibelanjakan ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin sejak 2020 hingga 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri (2021 hingga 2022).