KPDN ajur Jualan Rahmah di 600 kawasan sempena Aidiladha
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Jualan Rahmah sempena sambutan Aidiladha di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Lagi usaha kerajaan ringan beban rakyat |
Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, inisiatif yang menawarkan 16 item termasuk keperluan asas dengan tawaran harga lebih rendah sehingga 30 peratus itu bermula hari ini sehingga 28 Jun ini.
“Untuk Aidiladha, kita tidak laksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), namun KPDN laksana jualan rahmah di setiap 600 DUN seluruh negara bermula esok hingga 28 Jun depan.
“Barangan ini ditawarkan dengan harga diskaun 10 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran, disamping itu peruntukan subsidi akan diberikan, contohnya ayam dengan harga RM15 seekor dan rakan strategik mahu tawarkan harga RM10, lagi RM5 itu subsidi oleh KPDN,” katanya.
Fuziah sebelumnya hadir ke Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan 2023 di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datin Roszanina Wahab dan Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Sementara itu Fuziah turut memaklumkan, bekalan barangan untuk Aidiladha adalah mencukupi walaupun tiada skim kawalan harga dilaksanakan menjelang tempoh perayaan tersebut.
“Ketika ini KPDN tidak menerima aduan berhubung kekurangan bekalan seperti daging dan lembu. Kita dapat maklum balas daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bahawa bekalan mencukupi,” katanya dipetik.