Nasional

PM nyata hala tuju masyarakat India dalam pertemuan khas

RAKYAT semakin dapat melihat usaha demi usaha yang dilakukan Kerajaan Perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

PM mahu ada hala tuju jelas masyarakat India

Dengan beban hutang yang diwarisi dari kerajaan terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebolehnya mahu memastikan masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama itu dapat diselesaikan secepat mungkin termasuk dalam kalangan masyarakat India yang disifatkan antara kaum yang paling miskin di Semenanjung.

Harapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dikongsikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy kepada pemberita sebagai mengulas perbincangan antara Perdana Menteri bersama Ahli-Ahli Parlimen Komuniti India Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Parlimen semalam. 

“Sementara menumpukan perhatian untuk menoktahkan kemiskinan tegar semua kaum, komuniti India juga harus diberi perhatian supaya hasrat kerajaan MADANI untuk memberi peluang yang saksama kepada semua pihak.

“Ini satu mesej daripada Perdana Menteri, bahawa tiada sesiapa pun harus dipinggirkan dalam arus pembangunan negara,” katanya dalam satu sidang media. 

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran; Senator Datuk Nelson Renganathan; Senator Datuk C Sivaraj dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) Datuk Ramanan Ramakrishnan yang juga hadir dalam perjumpaan itu berkata Perdana Menteri memaklumkan telah membuat satu kajian mengenai hala tuju masyarakat India di negara ini, dalam usaha menjaga kebajikan kaum itu bagi jangka masa panjang.

“Dalam pertemuan satu jam itu, Perdana Menteri telah memberi maklumat agak terperinci dan apa keinginan beliau terhadap pemimpin masyarakat India. 

“Isu Mitra pun dibangkitkan, kami telah selesai satu taklimat kepada Perdana Menteri dan hantarkan laporan kami,” jelasnya. 

Ramanan juga berkata , pada pertemuan itu Anwar telah mendengar semua pandangan pemimpin India, yang meliputi pelbagai perkara selain turut membincangkan isu berkaitan pendidikan, kemiskinan, kewarganegaraan dan Pelan Tindakan Masyarakat India.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button