Shamsul Iskandar lapor polis terhadap Chegubard, didakwa seleweng dana NGO
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, kerana mengaitkan dirinya dengan penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO).
Ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Shamsul Iskandar berkata dakwaan yang dibuat menerusi hantaran di laman Facebook semalam itu langsung tidak berasas, tidak disokong sebarang bukti, berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Pejabat Perdana Menteri.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang telah dibuat ke atas diri saya dan Pejabat Perdana Menteri. Saya telah berbincang dengan peguam saya dan hadir membuat laporan polis hari ini serta meminta pihak berkuasa jalankan siasatan.
“Kita alu-alukan sebarang pandangan dan kritikan, namun ia tidak boleh dibuat dalam bentuk cemuhan dan juga fitnah serta tuduhan tidak berasas, saya harap pihak bertanggungjawab boleh jalankan siasatan dan segera mengambil tindakan berikutan apa yang diceritakan itu tidak mempunyai sebarang asas, dokumen dan ia hanya sekadar rekaan untuk memburukkan imej saya,” katanya kepada pemberita.
Shamsul Iskandar berkata, dia turut membuat laporan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dakwaan tersebut.
Katanya lagi, tindakan perundangan menghantar notis tuntutan saman juga sedang dilakukan.
Dia berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati seharusnya mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa dan tidak membuat hantaran di media sosial yang hanya mengundang keresahan rakyat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.
Menurut Tan kes diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya kerana kes direkodkan di sana.