Semasa

Proses verifikasi RTK 2.0 tamat 31 Mac ini – Saifuddin

Proses verifikasi membabitkan majikan dan pekerja asing bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 akan ditamatkan pada 31 Mac depan.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan perkara itu pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program RTK 2.0 di Jabatan Imigresen Selangor, di Shah Alam pada Selasa.

“Saya membuat lawatan khas bagi melihat sendiri secara dekat proses verifikasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) di Jabatan Imigresen Selangor.

“Saya sempat bertemu majikan dan pekerja untuk mendapat maklum balas terus berhubung proses verifikasi ini. Alhamdulillah banyak maklum balas positif yang kami terima,” katanya.

Mengulas mengenai proses verifikasi yang dilaksanakan setelah proses pendaftaran Program RTK 2.0 tamat pada 31 Dis lepas, beliau menganggarkan hampir 1.1 juta pekerja asing telah didaftarkan.

BACA LAGI: Menteri tak kompromi terhadap pemilik sewa lesen, gaji pekerja asing 

“Majikan mesti melakukan proses verifikasi dengan datang bersama pekerja mereka ke Pejabat JIM bagi pihak imigresen memastikan majikan tersebut sama ada telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pekerja itu pula betul-betul wujud.

“Jika majikan tidak tampil (membuat proses verifikasi) bermakna mereka tidak berminat untuk menggajikan pekerja asing (secara sah) dan telah melakukan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Sementara itu Saifuddin turut berkata, setelah berakhirnya tempoh proses verifikasi berkenaan, mana-mana majikan yang didapati masih menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B; Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Related Articles

Back to top button