Nasional

Saranan wujudkan pusat pelacuran merendahkan martabat wanita – Menteri

Saranan pelakon dan juga penerbit, Datuk Rosyam Nor untuk mewujudkan pusat pelacuran di negara ini disifatkan sebagai tindakan yang merendah-rendahkan martabat wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, wanita berhak menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada menjadi ‘alat’ dalam menyelesaikan masalah sosial.

“Kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak serta sistem sokongan kepada wanita perlu ditanam serta disebarkan kepada umum.

“Cadangan atau gurauan sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi apatah lagi secara terangan bercanggah daripada undang-undang, prinsip, nilai kekeluargaan, budaya dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rosyam Nor, 57, menerusi podcast atau audio siar, Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

Katanya, perkara itu akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya.

Meskipun, beliau telah tampil membuat permohonan maaf berhubung kenyataan peribadinya itu.

Nancy turut menegaskan pihaknya juga akan sentiasa memberikan fokus terhadap usaha-usaha memperkasakan wanita.

Katanya, ini termasuk mempelbagaikan program bagi meningkatkan pembabitan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang serta menjadi agen pembangunan negara.

“Kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan golongan terbabit mempunyai peluang yang adil serta memiliki kerjaya lebih baik.

“Kami juga mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun. Kita perlu bertindak untuk menunjukkan contoh yang terpuji kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button