Semasa

MyCC sedia bincang mengenai isu persaingan padi dan beras

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) belum menjalankan sebarang siasatan terhadap pihak berkaitan padi dan beras susulan dakwaan wujud kartel yang menentukan harga dalam pasaran.

Melalui satu kenyataan MyCC menegaskan, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat daripada Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung perkara itu.

Namun menurut kenyataan itu pihaknya sedia berbincang dengan KPB dan KPKM mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras untuk berbincang mengenai isu tersebut.

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan KPB pada 19 Januari depan.

“MyCC juga telah maklumkan kepada KPB mengenai kesediaan kami untuk memahami dan membincangkan isu-isu berkaitan industri padi dan beras supaya dapat memberi input berkaitan sebarang kebimbangan persaingan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini KPKM dilapor menafikan dakwaan kewujudan kartel atau ‘mafia’ yang menentukan harga padi, beras dan benih padi di negara ini.

BACA LAGI: KPKM nafi kewujudan kartel tentukan harga beras, benih padi

Kementerian itu menjelaskan, industri padi dan beras negara dikawal selia oleh KPB melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Sementara itu MyCC melalui kenyataan sama menggesa semua pihak terutamanya media supaya berhati-hati, dan berhenti membuat sebarang spekulasi lebih-lebih lagi apabila KPB telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 4 Januari lepas yang menyatakan bahawa hasil penemuan mereka, tiada isu persaingan yang berkaitan dengan industri padi dan beras.

Related Articles

Back to top button