ekonomi

Pertumbuhan ekonomi positif, pasaran buruh kekal kukuh – DOSM

Jabatan Perangkaan (DOSM) memaklumkan kadar pengangguran pada November 2023 kembali pada paras prapandemik iaitu 3.3% dengan 569,200 penganggur, berbanding 3.4% pada Oktober

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang menurun mengisyaratkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

“Bilangan tenaga kerja pada Nov 2023 meningkat 0.2% bulan ke bulan kepada 17 juta orang daripada 16.97 juta orang pada Oktober.

“Pada masa sama, jumlah individu penganggur menurun 0.3% kepada 569,200,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Ekonomi positif, momentum baik untuk capai sasaran KDNK 5%

Uzir sementara itu berkata mereka yang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9% daripada jumlah penganggur, berkurangan 0.6% kepada 454,500 individu.

“Bagi individu penganggur aktif, 61.8% menganggur kurang daripada tiga bulan, dan 6.3% berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun,” katanya.

Uzir berkata walaupun berdepan dengan cabaran global, struktur ekonomi yang pelbagai dan asas yang kukuh menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil, terutamanya dalam aktiviti pelancongan.

Pasaran buruh jelasnya dijangka kekal teguh dalam beberapa bulan akan datang, sejajar prestasi ekonomi negara yang semakin meningkat.

Related Articles

Back to top button