Semasa

Skandal RM6 juta KFA : Siasat kini di peringkat akhir – SPRM

Siasatan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini di peringkat akhir.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan kepada umum butiran terperinci berkaitan siasatan itu kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.

Kes rasuah membabitkan KFA dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Susulan itu empat individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding ditahan bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini memetik seorang sumber berkata, berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan sumbangan dana.

Projek tersebut antaranya berkaitan pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air.

“Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” kata sumber tidak dinamakan itu.

BACA LAGI: Sultan Ibrahim tekad lawan rasuah, hentikan ketidakstabilan politik dicetuskan ‘perenggus’

Susulan itu, SPRM memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam bagi memberi keterangan.

Sanusi dilapor tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki kereta jenis Mercedes Benz berwarna perak di bangunan SPRM dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 11.37 pagi.

Namun, usaha kira-kira 20 pengamal media untuk mendapatkan komen dari Menteri Besar itu tidak kesampaian apabila kenderaan Sanusi terus beredar meninggalkan pekarangan SPRM.

Related Articles

Back to top button