Global

PM Anwar kecam Zionis, asak Jerman desak gencatan senjata perang Israel-Palestin

Perdana Menteri menyatakan pendirian kepada Jerman bahawa Malaysia tidak memperakui Israel.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock dan delegasi di pejabatnya pada Jumaat turut mengasak Jerman untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendesak gencatan senjata dan membenarkan akses kemanusiaan melibatkan konflik Israel-Palestin.

“Saya menerima kunjungan hormat Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock dan delegasi yang kini sedang dalam lawatan ke Asia Tenggara yang terdiri daripada Filipina dan Singapura selain Malaysia.

“Bahagian utama perbincangan adalah mengenai Palestin yang mana saya menegaskan pendirian Malaysia agar Barat menghentikan kepura-puraan mereka terhadap pendudukan Israel selama beberapa dekad, selain mesti berusaha ke arah mengelak pembantaian terhadap orang awam termasuk anak kecil.

“Pada kesempatan ini juga saya mengasak Jerman untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendesak gencatan senjata dan membenarkan akses kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

BACA LAGI: Sekat kapal ZIM berlabuh isyarat jelas Malaysia tak iktiraf Israel

Sementara itu, perdana menteri turut memaklumkan mereka berbincang dan mendapat persetujuan bersama dalam pengukuhan berkaitan aspek ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain meningkatkan persefahaman antara budaya.

“Selain itu, kami berdua juga senada supaya keperluan untuk menegakkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pendidikan diberi penekanan khusus selain menyatakan kebimbangan terhadap isu Myanmar yang masih berlarutan,” katanya.

Related Articles

Back to top button