Nasional

Lebih 10,000 pekerja kemalangan berjaya pulih, kembali bekerja – Menteri

Lebih 10,000 pekerja terlibat dalam kemalangan dan mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak di sini telah kembali bekerja dalam industri mengikut kemampuan masing-masing.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejak pusat rehabilitasi itu dibuka pada 2014, seramai 15,214 individu telah menerima rawatan dengan 70 peratus daripadanya berjaya dipulihkan dan telah kembali bekerja.

Menurutnya, jumlah tersebut merupakan hasil keberkesanan kemudahan disediakan di pusat tersebut, selain penyediaan pelbagai program melibatkan latihan vokasional kepada pesakit.

“Ini adalah manifestasi kementerian dalam memperjuang kebajikan pekerja di Malaysia bertepatan dengan tiga indikasi utama kementerian merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja, peningkatan kemahiran serta keberhasilan pekerja.

“Di pusat rehabilitasi ini sahaja, dalam 10 tahun ini lebih 15,000 individu telah mendapatkan rawatan dan 70 peratus daripada mereka berjaya pulang balik ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh, hari ini.

Katanya, Perkeso juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf pusat tersebut merangkumi pembinaan Jabatan Neuromodular yang baharu dan asrama pesakit.

Steven Sim berkata, Perkeso disaran membina tiga lagi pusat rehabilitasi baharu termasuk di Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat agar Perkeso boleh mengembangkan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara.

Tambahnya, setakat ini hanya Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Ayer Keroh satu-satunya yang beroperasi manakala dua lagi di Ipoh, Perak dijangka siap dibina tahun ini dan disusuli dengan Terengganu.

Related Articles

Back to top button