Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak medium kukuh persefahaman dan keharmonian
Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak bakal menjadi landasan mengurus perbezaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terutama di peringkat akar umbi.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, konvensyen itu dirancang untuk menyuburkan semangat perpaduan dan keharmonian dikalangan parti dalam kerajaan sekaligus mencipta naratif kerjasama lebih jitu dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Mungkin ada perbezaan, tetapi kita kena uruskan untuk menjadi persamaan.
“Tujuannya untuk mencari titik pertemuan, titik persamaan untuk mengukuhkan dan menguatkan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan penganjuran konvensyen itu di Ipoh pada Isnin.
BACA LAGI: GRS puji komitmen PM Anwar teguhkan perpaduan antara parti politik
Perak menjadi negeri pertama mengadakan konvensyen itu selepas dilaksana di peringkat nasional pada Mei tahun lalu.
Ia bakal diadakan pada 28 Januari ini di Hotel Casuarina, Ipoh dengan 1,500 peserta dijangka akan hadir.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir ke konvensyen tersebut
Sementara itu Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula mengharapkan konvensyen itu dapat mencetuskan usaha di peringkat akar umbi serta mengharapkan perpaduan itu boleh kekal berterusan sampai ke pilihan raya akan datang.