Nasional

Sumbangan Asas Rahmah 2024 bernilai RM700 juta untuk 700,000 penerima

Kerajaan telah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup.

Program ini yang bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari 2024, menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.

“Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Penambahbaikan SARA untuk tahun 2024 termasuklah:

  1. Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
  2. Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600;
  3. Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Dengan penambahbaikan tersebut, program SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

“Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas,” katanya lagi.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.

Kementerian Kewangan turut menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program SARA.

Related Articles

Back to top button