Semasa

Kerajaan cadang hantar pegawai SMART dapatkan pendedahan, latihan di luar negara

Kerajaan bercadang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menjalani latihan di luar negara dalam meningkatkan kepakaran pasukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (NADMA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara negara yang dicadangkan adalah Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kecekapan mengurus bencana.

“Pengalaman, peralatan dan teknologi mereka itu lebih daripada kita. Jadi kita perlu belajar daripada pihak yang mempunyai ketiga-tiga elemen itu, Insya-Allah,” katanya pada Jumaat.

Ahmad Zahid sebelumnya hadir ke Majlis Amanat Tahun 2024 bersama Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Markas SMART NADMA Jabatan Perdana Menteri, di Puchong, Selangor yang turut dihadiri Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus.

Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri itu berkata, cadangan menghantar pasukan SMART dan NADMA menjalani latihan kepakaran menguruskan bencana di luar negara juga selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan pendedahan dan latihan di luar negara.

BACA LAGI: Pasukan penyelamat misi bencana Turkiye dianugerahkan pingat khas

“Ia juga sebagai satu usaha apabila dulunya kita mengambil pakar luar negara untuk diletakkan di jabatan kita, atau pun membayar kos tinggi untuk jururunding (luar negara).

“Lebih baik kita bersetuju dengan Perdana Menteri untuk menghantar pegawai kita ke luar negara bagi mendapat latihan sesuai ‘Training of Trainers’ (ToT),” katanya.

Ketika ini, seramai 125 anggota ditempatkan di SMART membabitkan tujuh pegawai, 12 penyelia, 105 anggota dan seorang orang awam.

Secara keseluruhan, keanggotaan SMART membabitkan dua pegawai dan 29 anggota lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM); tiga pegawai dan 41 anggota lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai serta 47 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Related Articles

Back to top button