Dr Zaliha sambut baik pengumuman TPM untuk majukan Labuan
Kerajaan Perpaduan akan memberi fokus dalam menyelesaikan isu infrastruktur asas di Labuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata begitu sebagai sebagai maklum balas kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menunjukkan usaha berterusan untuk memajukan dan memakmurkan lagi pulau bebas cukai itu.
“Sebagaimana dinyatakan semasa lawatan saya sebelum ini, penyelesaian kepada isu infrastruktur asas di Wilayah Persekutuan Labuan adalah fokus utama Kerajaan Perpaduan.
“Justeru, dengan pemantauan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta usaha sama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan beberapa agensi Kerajaan Sabah yang berkaitan, diharapkan pelaksanaan projek menaik taraf paip dan cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu dapat dilaksanakan dengan baik.
Pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur asas di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan semestinya akan merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta menarik pelaburan luar,” katanya satu dalam kenyataan pada Ahad.
BACA LAGI: Kementerian Wilayah garis 92 program tingkat landskap sosioekonomi Labuan
Terdahulu menerusi lawatan kerja ke Labuan, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata beliau ditugaskan mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan bekalan elektrik dan air yang selama ini membelenggu penduduk pulau itu.
Labuan turut dicadang menjadi kawasan angkat Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan komited menyelesaikan isu berkaitan.
Katanya lagi, pihak berkepentingan juga perlu mencari pendekatan dan kaedah berbeza dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinanti-nantikan sekian lama serta dapat melihat potensi terhadap ekonomi Labuan.