Pelarasan tarif air domestik bantu Air Kelantan Sdn Bhd tampung kos operasi
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berharap dengan pelarasan tarif baharu air domestik mulai 1 Februari depan dengan kenaikan purata 23 sen bagi setiap meter padu dapat membantu mengatasi masalah air dihadapi rakyat di negeri ini.
Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, kenaikan berkenaan boleh menampung perbelanjaan operasi yang sebahagian besarnya dapat digunakan untuk pembaikan paip bocor.
Katanya, di Kelantan, terdapat banyak paip yang mengalami kebocoran dan dengan adanya tambahan pendapatan itu, maka AKSB boleh mempercepatkan untuk membaiki paip yang bocor.
“Kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) di Kelantan masih tinggi iaitu sebanyak 50 peratus dan apabila paip yang mengalami kebocoran ini dibaiki, makan kadar NRW akan berkurangan.
“Pada minggu ini, pihak kami dalam proses pelantikan kontraktor untuk kerja-kerja membaiki paip.
“Kami perlu melantik kontraktor dari luar kerana kakitangan yang sedia ada tidak mencukupi berikutan kebocoran paip yang berlaku melebihi keupayaan kami dan berharap ia dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Pelarasan dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.
Izani berkata, selain itu, pihaknya juga akan membaik pulih sistem rawatan di loji rawatan air (LRA) serta menaik taraf loji-loji lama supaya kualiti air lebih baik sekali gus dapat mengatasi isu air keruh sebelum ini.
“Kualiti air bermula di loji dan ada sesetengah LRA yang sistem pemprosesannya sudah agak lama dan perlu dibaiki serta dinaik taraf.
“Terdapat 42 LRA yang sedia ada dan melalui operational period (OP) 5, pihak AKSB akan menambah lima LRA baru iaitu di Merbau Chondong;Tok Bali; Bukit Chupak, Gua Musang; Chicha 2; dan Tanjong Mas bagi menampung keperluan pengguna di kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, AKSB turut mendedahkan penduduk di empat jajahan iaitu di Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh culas membayar bil air sekali gus menyaksikan tunggakan sebanyak RM27 juta sehingga 31 Disember lalu.
Menurutnya, jumlah itu melibatkan kegagalan pengguna membayar bil air selama tiga bulan atau lebih sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan.