CAAM sahkan insiden pesawat gagal mendarat, siasatan bakal dijalankan
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka lewat petang semalam.
Melalui satu kenyataan, CAAM berkata, pesawat latihan jenis Piper PA-28-181 dengan nombor pendaftaran 9M-ITX dikendalikan International Aero Training Academy (IATAC) itu gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapan tertanggal.
“Insiden ini melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.
BACA LAGI: PM Anwar hairan, ada pihak ‘marah’ apabila individu berprofile tinggi disiasat
Tambahnya, pesawat terbabit kemudian telah dialihkan dari landasan pada dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
“Lapangan terbang tersebut kembali beroperasi pada pukul 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan,” tambahnya.
Susulan itu Norazman berkata, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.