Semasa

SD RM3 bilion: SPRM bidas tohmahan Mahathir

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad berhubung isu akuan berkanun (SD) bekas penolong gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Murad Khalid, kira-kira 24 tahun lalu.

Suruhanjaya itu melalui satu kenyataan berkata rekod menunjukkan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar Ibrahim susulan penerbitan SD itu.

“Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh, dan terperinci dengan bantuan BNM termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar,” tegas SPRM.

Mahathir dalam satu sidang media pada Isnin mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan terhadap Murad berhubung SD dibuat pada 1999 yang mendakwa Anwar memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.

Pada 2012, Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Murad berada dalam keadaan tertekan ketika membuat SD terhadap dakwaan dana dimiliki Anwar.

Saifuddin melalui laporan media mendakwa, Murad “terbang” ke Munich, Jerman, pada akhir 2004 untuk bertemu Anwar dan memohon maaf berhubung isu SD dibuatnya.

BACA LAGI: Istana Negara buat laporan polis terhadap Chegu Bard

Sementara itu SPRM dalam kenyataan menegaskan dakwaan dibuat Mahathir kononnya badan anti-rasuah tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung SD Murad merupakan ‘tohmahan’

Suruhanjaya itu turut menegaskan enam kertas siasatan tersebut dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002.

“…malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button