Parlimen

Mulai 2026, sesi sekolah akan dimulakan kembali pada Januari

MENTERI PENDIDIKAN Fadhlina Sidek mengumumkan sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari bermula 2026.

Fadhlina harap perancangan awal dapat dibuat
Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) turut merancang untuk memulakan kalendar akademik sesi 2024/2025 seawal Februari 2025.
Justeru tambahnya, dengan pengumuman awal itu beliau berharap semua pihak terbabit akan dapat merancang kewangan dan urusan mereka dengan lebih baik.
“KPM telah meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini…berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.
“Secara tidak langsung perancangan cuti keluarga, kenduri-kendara dan cuti guru seperti yang telah diumumkan dalam 10 prakasa sempena sambutan Hari Guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan ini yang akan diwartakan,” katanya.
Fadhlina sebelumnya menjawab soalan Aminolhuda Hasssan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu bilakah sesi akademik persekolahan dapat dikembali ke Januari seperti lazimnya sebelum penularan COVID-19.
Sementara itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM sedang dalam proses meneliti keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik persekolahan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum dan memenuhi jumlah 190 hari persekolahan yang diperlukan dalam setahun.
Sebarang perubahan kepada kalendar akademik persekolahan juga jelasnya perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat, kejadian banjir pada hujung tahun selain memastikan ia tidak mengganggu jadual peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button