Simpan stok lebih had: KPKM sita 41 tan beras dalam serbuan di Selayang
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyita 41 tan metrik stok pelbagai gred beras bernilai RM131,568 di sebuah premis di Selayang, Selangor.
KPKM dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan, tindakan itu setelah pihaknya percayai stok tersebut disimpan melebihi had muatan dibenarkan di dalam lesen
Kenyataan itu memaklumkan sitaan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM ketika melaksanakan pemeriksaan rutin ke atas premis-premis borong dan runcit yang menjual beras di sekitar Selayang pada Selasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis perniagaan menyimpan stok beras melebihi daripada had muatan yang dinyatakan di dalam lesen dan tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dengan menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan,” kata KPKM.
Melalui kenyataan tersebut KPKM turut memaklumkan, semakan mendapati ia merupakan kesalahan kedua oleh syarikat itu dan mereka berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 jika didapati bersalah.
Susulan itu siasatan akan dijalankan dibawah Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 (P.U (A) 624).
BACA LAGI: KPKM akan siasat dakwaan berlaku ‘permainan’ dalam agihan beras oleh Bernas
“KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras 1996 dengan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhi peraturan itu.
“Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB (https://skpb.kpkm.gov.my/adu) atau menerusi talian penting Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183),” tambah kenyataan itu lagi.