ekonomi

Kerajaan tumpu pelaksanaan Ekonomi Madani mulai tahun ini – Amir Hamzah

Mulai tahun ini, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Ekonomi Madani, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah, bercakap pada sidang pertamanya sejak dilantik menganggotai Kabinet pada 12 Dis 2023 berkata, pelaksanaan konsep itu akan berteraskan dua tunjang penting iaitu penstrukturan semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Dari segi ekonomi, kerajaan akan menaikkan siling yang merujuk kepada penstrukturan semula ekonomi bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih tangkas dengan saiz yang lebih besar agar hasil dapat diagihkan secara sama rata kepada rakyat.

“Ini termasuk usaha yang dibuat kerajaan seperti membawa masuk pelaburan asing langsung ke Malaysia seperti apa yang dilaksanakan pada tahun lepas melalui program dan misi kerajaan,” katanya di Putrajaya pada Jumaat.

Pentadbiran Anwar pada tahun lalu memperkenal rangka kerja ekonomi Madani pada 2023 bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara.

Amir Hamzah sementara itu menambah, pelabur domestik turut memainkan peranan penting merancakkan ekonomi negara.

BACA LAGI: Pemukiman Jemaah Menteri memberdaya iltizam untuk merealisasi ekonomi MADANI 

Justeru kerajaan turut melihat kepada pelbagai jenis pelaburan yang masuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan berharap dapat membawa sektor baharu dan meningkatkan pulangan dari segi pekerjaan.

“Usaha kerajaan adalah bagi memadankan pelabur asing dan pelabur domestik serta menyokong merancakkan ekonomi Malaysia. Kementerian Kewangan (MoF) akan terus berbincang untuk membawa semua pihak bersama-sama untuk menjadi pemangkin dalam usaha mengembangkan ekonomi,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan menaikkan lantai yang merujuk kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat agar dapat mewujudkan peluang pendapatan yang berkualiti dan inklusif di samping menambah baik penyediaan perkhidmatan terutamanya pendidikan, kesihatan, infrastruktur asas, serta sistem perlindungan sosial yang lebih meluas.

“Bagi menaikkan lantai, ia berlandaskan isu penggajian dalam negara yang mana konsep gaji minimum serta gaji progresif telah diperkenalkan.

“Dari segi ekonomi, penting bagi rakyat mendapat penggajian yang lebih baik kerana ia membantu mewujudkan kesan berganda dan seterusnya merancakkan ekonomi,” kata bekas tokoh korporat terkemuka itu.

Related Articles

Back to top button