Tanah runtuh Cameron Highlands, NRES tunggu laporan lengkap – Nik Nazmi
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menunggu laporan lengkap berhubung kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang, pada Jumaat lepas.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya memberi perhatian serius berhubung kejadian itu dan tidak mahu perkara tersebut berulang pada masa hadapan.
“Tentang insiden terbaharu di Cameron Highlands, kementerian (NRES) sedang menunggu laporan lengkap, kita perlu mendapat gambaran sebenar kejadian tersebut sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kementerian bersama pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri juga sedang kumpul maklumat tersebut dan akan memaklumkan tindakan segera yang perlu diambil,” katanya.
BACA LAGI: GPP tapak perkhemahan: pengusaha diberi tempoh dua tahun untuk patuhi garis panduan
Dalam kejadian di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands awal pagi Jumaat lalu, lima termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja ladang sayur maut tertimbus selepas rumah yang mereka huni mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata kebun sayur seluas kira-kira 4.31 hektar itu diusahakan secara haram sejak lebih setahun lepas, malah pernah disita Jabatan Perhutanan pada April lalu.