Semasa

KPKM mahu jadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri jelapang padi negara

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai jelapang padi negara yang kedua pada masa hadapan.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu sidang media di Pasir Putih, Kelantan pada Ahad berkata, hasrat tersebut akan direalisasikan menerusi pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan.

Tambahnya, bagi tujuan itu beliau akan bertemu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan hasrat tersebut.

“Hasil padi di kedua-dua negeri itu sebenarnya agak tinggi terutama di Sarawak. Sekiranya, kerajaan bergerak seiring dengan Sarawak menerusi cara moden ini, saya yakin hasil yang diperoleh akan tinggi.

“Insya-ALLAH bulan depan, saya akan bertemu Premier Sarawak bagi membincangkan perkara berkaitan dengan penanaman padi di negeri berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu Mohamad merasmikan Majlis Perasmian SMART SBB Ala Sekinchan KADA di bendang Tok Ajam yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husin.

BACA LAGI: Banci Pertanian 2024 bakal rungkai masalah sektor tani, tangani isu keterjaminan makanan

SMART SBB ala Sekinchan adalah model baharu yang diperkenalkan KPKM sejak Mei tahun lalu. Ia mengaplikasi amalan terbaik penanaman padi di Sekinchan untuk direplikasi ke kawasan lain.

Melalui konsep itu, ia boleh meningkatkan hasil padi sebanyak 70 peratus berbanding kaedah biasa

KPKM mensasarkan sebanyak 150,000 hektar sawah padi di negara ini akan diusahakan menggunakan Smart SBB Ala Sekinchan menjelang 2030 bagi mencapai tahap sara diri tanpa perlu mengimport beras dari negara lain.

“Bagaimanapun kita akui untuk 100 peratus melaksanakan SMART SBB ala Sekinchan agak sukar, berikutan beberapa masalah yang perlu dihadapi termasuk pengairan, kewangan, teknologi dan pembajaan.

“Kemudahan seperti sistem pengairan itu perlu dipertingkatkan terlebih dahulu kerana bukan semua kawasan mempunyai kemudahan lengkap,” katanya.

Related Articles

Back to top button