Skuad hoki 5s lelaki terima ganjaran RM80,000 dari KBS

Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara akan menerima ganjaran sebanyak RM80,000 sususlan meraih gelaran naib juara Piala Dunia Hoki 5s yang berlangsung di Muscat, Oman.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selain ganjaran, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut akan membayar semula segala kos yang dikeluarkan Kesatuan Hoki Malaysia, (KHM), bagi menanggung pasukan ke kejohanan edisi sulung itu.
“Pasukan hoki ini akan diberikan insentif khas RM80,000 dan pembayaran balik perbelanjaan ke Oman.
“KBS telah memohon kepada Kementerian Kewangan bagi peruntukan pembangunan dan segala persiapan yang diperlukan untuk menghadapi persaingan yang lebih mencabar di Piala Dunia 2028,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Untuk tujuan itu katanya, KHM telah diminta mengira jumlah kos untuk dibayar balik.

Skuad hoki 5s lelaki negara mencuri tumpuan apabila bergelar naib juara edisi pertama Piala Dunia Hoki 5s selepas tewas 5-2 kepada Belanda dalam aksi final.
Hannah menyambut kepulangan pasukan hoki 5s lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, awal pagi tadi.



