Tidak ada usaha mempercepatkan pengampunan seperti tanggapan pihak tertentu – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dibuat adalah mengikut proses sedia ada dan peruntukan undang-undang.
Anwar berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan adalah mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, rakyat harus menghormati keputusan itu dan ianya muktamad dibuat atas pertimbangan Baginda sebagai mercu keihsanan.
“Tidak ada usaha mempercepatkan pengampunan seperti tanggapan pihak tertentu. Sebaliknya mana-mana rayuan, sama ada oleh Datuk Seri Najib atau sesiapa sahaja yang dikemukakan akan dibawa dan mesti dibicarakan oleh Lembaga Pengampunan.
“Proses pengampunan ini bukan semata-mata terkait soal undang-undang, kerana pertimbangan utama adalah soal ihsan dan hak sesiapa untuk bebas memohon, seperti apa yang disebut oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.
Anwar turut menegaskan bahawa perkara ini tidak sama sekali akan menggugat pendirian kerajaan untuk melawan rasuah secara habis-habisan.
“Ketimbang pihak-pihak tertentu yang hanya bersuara keras terhadap individu yang sudah pun dipenjara namun membisu dan terus bersekongkol dengan pihak-pihak yang menggeledah dan memunggah kekayaan puluhan bilion ringgit wang negara,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan ahli politik DAP, Tony Pua adalah orang pertama yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung kenyataannya berhubung keputusan mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib Razak.