Nasional

Kuota 30 peratus wanita pembuat dasar wajar dimansuhkan – Nancy

Kuota 30 peratus golongan wanita dilantik sebagai pembuat keputusan yang menjadi dasar kerajaan sebelum ini perlu dimansuhkan segera, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana peranan wanita dalam bidang profesional tidak harus lagi disekat seperti sebelum ini.

“Kita tidak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) seperti (kuota) 30 peratus itu. Kalau dalam sektor awam kita dah sampai 42 peratus, jadi (tak patut) kalau kita nak letak seperti 50 peratus atau apa-apa (had).

“Tak sepatutnya ada ditetapkan siling lagi… kita (wanita) sepatutnya boleh bergerak secara bebas tidak perlu disekat lagi,” katanya selepas lawatan kerja Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita (LaWa), di Jasin, hari ini.

Katanya, persepsi organisasi berhubung stereotaip dan diskriminasi gender atau budaya yang menghalang kemajuan wanita ke jawatan tinggi tidak sepatutnya berlaku dan Malaysia perlu bersaing dengan negara lain dalam mempelopori usaha mengiktiraf golongan itu yang dilihat seakan diketepikan sejak bertahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan gesaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pengerusi Kumpulan Rangkaian Sumber Manusia, Datuk Nora Manaf supaya ditubuhkan Suruhanjaya Wanita bagi memastikan penyertaan golongan wanita ditingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk kepemimpinan politik, jawatan eksekutif atau keahlian dalam panel dan lembaga membuat keputusan.

Kewujudan Suruhanjaya Wanita itu penting sebagai faktor penolak utama dalam mengangkat martabat wanita, khususnya dalam bidang profesional dan korporat, selain berperanan mengenal pasti dan menonjolkan bakat wanita yang perlu diketengahkan.

Related Articles

Back to top button