El-Nino: Mesyuarat rentas kementerian diadakan akhir bulan ini – Nik Nazmi
Satu mesyuarat melibatkan pelbagai kementerian dan agensi akan diadakan pada 22 Feb ini di Putrajaya bagi membincangkan persiapan negara menghadapi kesan fenomena El-Nino dan Jerebu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata antara kementerian yang bakal terlibat dengan mesyuarat itu adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan.
Ia susulan jangkaan fenomena yang bakal dihadapi tahun ini lebih teruk berbanding sebelumnya.
“Sebagaimana kita tahu (El Nino pada tahun ini) lebih kering dan panas daripada biasa.
“Ia bermula sejak tahun lepas yang juga merekodkan cuaca terpanas dalam sejarah dunia. Kita hendak memastikan persediaan yang terbaik,” katanya dalam satu sidang media.
Nik Nazmi sebelumnya menghadiri Sesi Dialog Pasca Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP 28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dipetik laporan media berkata fenomena El Nino dengan intensiti kuat dijangka akan berterusan hingga pertengahan tahun ini.
BACA LAGI: Malaysia komited pastikan AWGCC dilaksana dengan berkesan
Fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah tindakan berhubung isu jerebu, Nik Nazmi berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan mengenai langkah untuk mengatasi masalah kebakaran tanah gambut dan jerebu rentas sempadan bersama pihak terlibat termasuk dari Indonesia.
Selain itu, Malaysia pada Oktober tahun lalu turut menghantar surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).