Mahkamah

Mahkamah Syariah akan kekal, terus terjamin selaras Perlembagaan Persekutuan – Menteri Agama

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam suatu keputusan hari ini membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa Dewan Undangan Negeri tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Na’im yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan itu dan sebagai tindakan segera, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes tersebut untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

Katanya, selaras kajian atas alasan penghakiman kes itu, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah terus berjalan di Malaysia.

Menurutnya, beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras keputusan kes itu dengan segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah.

“Saya akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah untuk menyembah maklum keputusan mahkamah hari ini.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-raja Melayu untuk menyembah maklum perkara berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemegang taruh dan semua pihak terlibat dengan Mahkamah Syariah akan dipanggil segera untuk berbincang serta menilai langkah pemerkasaan seterusnya dan jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, ia akan segera dilakukan.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor dicadangkan jawatankuasa khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Dalam pada itu, Na’im menyeru agar semua pihak bertenang dan tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang keresahan awam.

Related Articles

Back to top button