Semasa

PM Anwar jangka hasil kajian SSPA diumum suku keempat tahun ini

Kerajaan akan mengumumkan hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selewat-lewatnya suku keempat tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan di Majlis Pertemuan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat beliau berkata, sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.

“Ada keluhan tentang (tempoh) kajian SSPA ini kerana sudah 12 tahun dan kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan ditingkatkan.

“Tahun lalu saya bagi jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap yang mana saya percepatkan proses itu,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

BACA LAGI: Kerajaan beri Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam RM2,000, pesara RM1,000

Sementara itu pada Selasa lalu, Anwar mengumumkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 akan dijelaskan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak pada 23 Februari ini.

Turut menerima insentif RM1,000 adalah pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Related Articles

Back to top button