Nasional

Anthony Loke hargai AirAsia, sokong inisiatif kerajaan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menzahirkan penghargaan kepada syarikat penerbangan tempatan, AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan dalam menyediakan penerbangan tengah malam pada kadar tambang tetap ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Tahun Baharu Cina.

Menerusi satu video di Facebook, katanya, inisiatif yang diambil oleh AirAsia itu menjadikan ia lebih mampu ditampung untuk rakyat Sabah dan Sarawak pulang ke kampung meraikan perayaan berkenaan dengan tambang serendah RM298.

“Saya ingin berterima kasih kepada AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan menyediakan lebih banyak penerbangan tambahan tengah malam pada tambang tetap,” katanya.

Pada 15 Disember 2023, Anthony Loke mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi kepada pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 untuk perjalanan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, selama tiga hari sebelum musim perayaan utama termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.

Bantuan subsidi itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 13 Disember lepas berikutan keluhan tentang harga tiket kapal terbang yang tinggi sebelum musim perayaan terutama bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan yang menetap, bekerja dan belajar di Semenanjung.

Katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dipertanggungjawabkan sebagai urus setia dan urusan pembayaran kepada syarikat penerbangan bagi inisiatif bantuan subsidi itu.

Related Articles

Back to top button