PM Anwar serikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA 2024 yang dianjurkankan di Dewan San Chon, Wisma MCA.
Beliau yang tiba pada pukul 9.50 pagi disambut Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selaku tuan rumah pada majlis berkenaan sambil diiringi persembahan tarian singa.
Majlis yang berlangsung di Wisma MCA itu merupakan acara pertama dihadiri Anwar bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan hari ini.
Ini merupakan kali kedua Perdana Menteri hadir majlis berkenaan sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Pada majlis itu, Anwar dan para tetamu yang hadir turut menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan dan kemakmuran bagi masyarakat Cina.
“Terima kasih kepada Ka Siong dan kepimpinan MCA, dan saya doakan semuanya baik,” katanya ringkas kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit di majlis berkenaan.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu turut kelihatan Timbalan Presiden Umno yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan.