Nota Jemaah Menteri terkait pembangunan semula Gaza akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet – Dr Dzulkefly
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan menyokong penuh agenda pembangunan semula Gaza yang dilaksana Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Katanya, sebanyak RM30 juta dana pembangunan semula pasca perang Gaza disumbangkan lebih 20 negara menerusi program International Planning Session Post War Gaza Rebuilding.
“Tahniah kepada MAPIM juga semua dermawan yang memberikan sumbangan dalam agenda ini, kira-kira RM30 juta yang dijana malam ini termasuk lebih 20 negara luar seperti Singapura, New Zealand, Indonesia, United Kingdom, Bangladesh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam Amal untuk Gaza anjuran MAPIM di Hotel Mardiyyah, Shah Alam Selangor, malam tadi.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membawa cadangan pembinaan sebuah hospital ihsan dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza selepas pasca peperangan.
Dzulkefly berkata, beliau sendiri akan memajukan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda pembinaan hospital itu.
“In Sya Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.
“KKM bersedia untuk menyiapkan cadangan itu kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat kabinet akan datang, paling tidak nota jemaah menteri.
“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda MAPIM membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan salah satu agendanya adalah pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya sudah mempunyai senarai pegawai dan kakitangan perubatan yang bakal ditempatkan di sana kelak.
“Jumlah yang tepat belum ditetapkan tetapi memang ada kesediaan kami untuk mendaftarkan doktor-doktor kami dan mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil.
“Senarai sudah ada dalam pangkalan data kami. Keperluan lain, dari sudut kesihatan, kepakaran surgeri lebih kepada pembedahan plastik dan dan yang lain juga akan diperlukan,” katanya.