Sukan

AMK Kedah gesa kerajaan negeri cari jalan selesai isu gaji pemain KDA FC

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah menggesa agar kemelut pemain bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diselesaikan segera.

Pengarah Komunikasinya, Mohammad Fitri Ismail berkata, biarpun kelab tersebut bukan dimiliki oleh kerajaan negeri, namun pentadbiran negeri wajar campur tangan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu pemain.

“Krisis tunggakan gaji pemain berlarutan sejak empat bulan lalu namun masih belum menemui penyelesaian.

“Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku penaung bola sepak negeri tidak boleh lepas tangan dalam isu ini, beliau seharusnya mempunyai keazaman politik (political will) untuk selesaikan masalah tersebut dari aspek bantuan kewangan,” katanya.

Sebelum ini, tular perkongsian video di media sosial mendakwa pemain KDA FC ‘mengemis’ untuk mendapatkan hak mereka selepas beberapa bulan mengalami tunggakan pembayaran gaji.

Pengurusan KDA FC mengakui pasukannya mengalami masalah tersebut membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu dan sedang berusaha menangani isu tersebut.

Pada Rabu Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak boleh lagi mencampuri urusan KDA FC kerana ia merupakan kelab swasta dimiliki individu serta diuruskan sebagai sebuah syarikat.

Bagaimanapun tegas Mohammad Fitri, dalam isu itu, keprihatinan dan tanggung jawab kerajaan negeri amat diperlukan untuk memastikan Kedah terus memberikan saingan dalam liga negara.

“Ia perlu ditangani dengan cara lebih prihatin biar pun pasukan itu bukan lagi bawah pengurusan kerajaan negeri secara langsung dan dibiayai penaja.

“Sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera, ia akan menyebabkan KDA FC tidak dapat beraksi dalam Liga Super pada musim hadapan,” katanya dipetik.

BACA LAGI: KBS salur geran untuk setiap negeri, naik taraf rumput dan sistem saliran venue Liga Malaysia

Sementara itu Mohammad Fitri turut menegaskan, pengurusan KDA FC juga wajar memberikan penjelasan konkrit berkenaan hala tuju pasukan dan tidak membiarkan pemain berterusan tercari-cari arah masa depan mereka.

“Pihak pengurusan beri jaminan isu tunggakan gaji akan selesai, namun sehingga kini pemain masih lagi tidak mendapat bayaran gaji.

“Bayangkan bekerja tanpa gaji sudah pasti memeritkan mereka dengan tanggung jawab untuk menampung diri dan keluarga,” ujarnya lagi.

Related Articles

Back to top button