Politik

AMANAH umum barisan kepimpinan baharu di tujuh negeri

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan barisan baharu Pengerusi AMANAH di tujuh negeri melibatkan tokoh baharu bagi memantapkan pentadbiran parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, barisan kepimpinan baharu itu akan membantu memantapkan pentadbiran parti di semua peringkat bagi mengukuhkan jentera menghadapi pilihan raya umum akan datang serta meningkatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, pelantikan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan AMANAH (Pindaan 2023) yang menyerahkan pelantikan Pengerusi AMANAH negeri kepada budi bicara Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) AMANAH.

“Pelantikan yang dibuat ini telah melalui proses syura yang merupakan prinsip utama dalam pentadbiran AMANAH dengan mengambil kira pandangan akar umbi di peringkat kawasan-kawasan bagi memastikan amalan demokrasi terus subur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Antara tujuh Pengerusi AMANAH negeri baharu yang telah dilantik secara sebulat suara ialah Khalid Abd Samad (Wilayah Persekutuan), Mohd Asmirul Anuar Aris (Kedah), Adly Zahari (Kelantan), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Melaka), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pahang), Muhammad Faiz Fadzil (Pulau Pinang) dan Mohd Hasbie Muda (Terengganu).

Manakala mereka yang terus kekal menyandang jawatan tersebut ialah Aminolhuda Hassan (Johor), Datuk MK Ibrahim Abd Rahman (Negeri Sembilan), Datuk Asmuni Awi (Perak), Wan Kharizal Wan Khazim (Perlis), Lahirul Latigu (Sabah), Abang Abdul Halil Abang Naili (Sarawak) dan Izham Hashim (Selangor).

Faiz Fadzil berkata, parti berkenaan yakin pelantikan Pengerusi Negeri baharu terbabit yang melibatkan gandingan penyandang dan tokoh baharu akan membantu memantapkan pentadbiran AMANAH di semua peringkat.

Related Articles

Back to top button