Hanya orang jahil perleceh hukum agama, kata Mufti susulan video parodi
Hanya orang jahil yang berani mempersenda kalam Allah S.W.T atau hadis Rasulullah S.A.W dengan memperlecehkan hukum agama yang telah ditetapkan Allah, tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Dr Wan Salim berkata begitu dipetik portal Wilayahku sebagai mengulas tindakan pempengaruh media sosial dikenali Dd Chronicles berhubung penerbitan video parodi dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu memansuhkan beberapa perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
“Hukum Allah wajib dihormati sebagai sesuatu yang suci dan seorang Muslim perlu ada perasaan bimbang terhadap kemungkinan menjadi murtad dengan tidak disengajakan!
“Kejahilan sering mededahkan seseorang kepada bahaya dan lantaran itu Islam amat menggalakkan penganutnya agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang agama (Islam) atau lain-lain,” katanya.
Terdahulu sebuah video yang berdurasi tiga minit 55 saat yang memaparkan tindakan pempengaruh itu melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Video itu kemudian mendapat perhatian warganet dan mereka meminta pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan terhadap lelaki tersebut kerana sudah melampaui batas.
Susulan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) melalui kenyataan pada Rabu berkata, pihak mereka akan membuat laporan polis secara serentak pada Jumaat terhadap individu itu.
BACA LAGI: Perkongsian berlebihan orang awam terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dipantau
Laporan itu tegas mereka susulan tindakan Dd Chronicle atau Dediy Sulaeman Ra’e, 43 itu dianggap mempersendakan agama dan menghina mahkamah.
“Ini adalah tindakan yang dibuat secara sengaja dan berniat jahat bagi mengelirukan masyarakat awam dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan berkenaan pembatalan 16 peruntukan kesalahan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
“AMK mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ini dan berharap agar pihak berkuasa serta polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu ini,” katanya pada Rabu.