Penambahan guru bukti komitmen kerajaan penuhi keperluan semasa – KPM
Kementerian Pendidikan Malaysai (KPM) sentiasa bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.
Menurutnya, sinergi kerjasama strategik kedua-dua pihak cukup signifikan dalam memastikan unjuran guru memenuhi keperluan semasa.
KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan seramai 18,792 orang guru baharu telah dilantik tahun lalu merangkumi 9,155 guru sekolah rendah dan 9,637 guru sekolah menengah.
“Pengambilan seramai 6315 orang graduan bukan pendidikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara kontrak seperti yang diumumkan oleh SPP pada minggu lalu adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan unjuran keperluan dan penempatan guru di sekolah dipenuhi,” kata kementerian itu pada Rabu.
Tambahnya, lonjakan penambahan bilangan guru ini adalah komitmen besar Kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda reformasi pendidikan dan memartabatkan kualiti pendidikan negara.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya dan SPP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru diselesaikan.
Ia termasuk isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).