Global

Serangan besar-besaran Israel di selatan Rafah perlu ditamatkan – PBB

Penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencegahan pembunuhan beramai-ramai khuatir dengan kemungkinan serangan Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza, yang menjadi tempat perlindungan lebih 1 juta penduduk daripada perang Israel di kawasan tersebut.

“Perlindungan orang awam perlu diutamakan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati pada setiap masa.

“Cukup-cukuplah dengan keganasan yang berlaku dan cukup-cukuplah penderitaan mereka yang paling terdedah, di Rafah dan di seluruh Semenanjung Gaza.

“Risiko jenayah kekejaman sekiranya pencerobohan tentera di Rafah adalah serius, nyata dan tinggi,” kata Alice Wairimu Nderitu dalam satu kenyataan.

Nderitu mengulas rancangan ‘pencerobohan ketenteraan penuh’ Israel di Rafah yang hampir pasti akan membawa akibat buruk kepada orang awam.

Beliau menekankan, adalah penting untuk membebaskan semua tebusan tanpa syarat, memastikan bantuan kemanusiaan boleh sampai kepada mereka yang paling memerlukannya dan mempercepatkan semua dialog supaya keganasan selanjutnya dapat dicegah dan gencatan senjata yang mampan dilaksanakan.

“Sejak 7 Oktober lalu, orang awam di rantau ini telah mengalami dan terus berdepan dengan penderitaan yang tidak diatasi. Ini mesti berakhir dan mesti ditamatkan sekarang,” tambahnya.

Tentera Israel merancang untuk melancarkan serangan darat di Rafah untuk mengalahkan ‘batalion Hamas’ yang tinggal dan rancangan itu telah mencetuskan kebimbangan tentang malapetaka kemanusiaan.

RAFAH, GAZA – FEBRUARY 14: Palestinian children hold placards during a march demanding an end to the war and their right to live, education and play on February 14, 2024 in Rafah, Gaza. Strikes intensified overnight as Israel reiterated intent to press on with a ground offensive in Gaza’s southern city of Rafah where some 1.4 million internally displaced Palestinians are sheltering, whilst a growing number of countries express alarm over the operation. (Photo by Ahmad Hasaballah/Getty Images)

Ketika ini di Rafah, lebih 1.4 juta rakyat Palestin terperangkap dengan lokasi itu juga adalah pintu masuk utama bagi bekalan bantuan yang amat diperlukan.

Kebimbangan juga semakin meningkat di Hospital Nasser di selatan Gaza, di mana seorang jururawat berkata, penembak tepat membunuh orang awam, sisa kumbahan membanjiri unit kecemasan, manakala air minuman dilaporkan habis. – Agensi

Related Articles

Back to top button