Semasa

KKM pertimbang premis makanan wujudkan kawasan khas merokok

Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum kekangan dihadapi sesetengah premis makanan terutama di kawasan sempit mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mempertimbang langkah lain termasuk kawasan khas merokok khususnya bagi premis terbabit.

“Kementerian Kesihatan mengambil pertimbangan hal ini, kita sedia maklum kalau tiga meter jarak (merokok) dari premis makanan, sudah hampir dengan premis lain.

“Kami pasti akan mempertimbang keperluan mengadakan tempat tertentu seperti negara maju lain iaitu Singapura, Jepun dan Hong Kong di mana mereka punya tempat yang diizinkan untuk merokok.

“Kami akan ambil pertimbangan yang serius supaya kawasan sempit seperti di Jalan Alor, Bukit Bintang ada tempat khas untuk perokok,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Dr Dzulkefly menghadiri Sesi Perjumpaan Meja Bulat sempena Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kuala Lumpur pada Sabtu.

BACA LAGI: KPM kerjasama dengan KKM bendung pengambilan ‘energy stick’ di kalangan pelajar

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, perkara itu bukanlah satu langkah mengundur ke belakang sebaliknya bagi memastikan larangan merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan dipatuhi.

Sementara itu ketika mengulas tinjauan dilakukan beliau berkata, Jalan Alor akan dijadikan sebagai model peranan bagi Kuala Lumpur Street Food yang mematuhi tahap kebersihan serta larangan merokok di premis makanan dan kawasan penjaja.

“Malam ini kita ambil langkah dekati pemilik untuk memastikan agenda kempen premis BeBAs dapat dijayakan.

“Sepanjang tinjauan mesra tadi juga, tiga premis telah mendapat pengiktirafan premis ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS)… program ini sudah pasti akan diperluas ke tempat lain seperti Putrajaya, Ipoh dan Pulau Pinang berlandaskan apa yang ada di Jalan Alor,” katanya.

Related Articles

Back to top button