PDRM terima 49 laporan polis berhubung isu video Dd Chronicle
Sebanyak 49 laporan polis telah dibuat di seluruh negara ke atas pempengaruh media sosial Dd Chronicle, yang membuat video parodi didakwa mempersendakan agama dan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua laporan polis berkenaan adalah sehingga semalam (Sabtu).
“Kami menjangkakan jumlah laporan polis berhubung perkara itu akan bertambah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Baru-baru ini, tular video berdurasi lebih tiga minit dimuat naik Dd Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e, 43, dikecam netizen kerana didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah dengan menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Terdahulu, lebih 30 laporan polis dibuat Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) terhadap pempengaruh media sosial, Dd Chronicle yang membuat video parodi didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Timbalan Ketua Pemudanya, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, kesemua laporan ke atas Dd Chronicle itu dibuat kepimpinan dan ahli parti di seluruh negara pada Khamis lalu.