Semasa

Mesyuarat Naccol Jumaat ini bakal bincang isu bekalan beras

Isu bekalan beras negara bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya selaku urusetia Naccol telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa isu tersebut antara perkara yang akan dibangkitkan pihaknya pada mesyuarat tersebut.

“Sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kuasa kawal selia padi dan beras termasuk berkaitan hala tuju bekalan dan harga terletak bawah KPKM.

“Sebarang perubahan melibatkan dasar dan program kerajaan terkait dengan industri padi dan beras adalah bawah tanggungjawab menteri pertanian dan keterjaminan makanan, sejajar perintah dikeluarkan bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969,” katanya dipetik media.

Armizan sementara itu menegaskan, sebarang pengumuman rasmi berkaitan beras negara akan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu atau wakil dipertanggungjawabkan selepas keputusan dibuat Naccol, dan kemudian dibawa kepada Jemaah Menteri jika keputusan itu besar serta melibatkan implikasi kewangan.

BACA LAGI: Kerajaan belum putuskan pengenalan gred Beras Putih Malaysia Madani

Sementara itu sebagai mengulas mengenai isu kos sara hidup yang membebankan, Armizan berkata ia merupakan isu yang dihadapi oleh seluruh dunia.

“Kalau lihat laporan Forum Ekonomi Dunia yang baru dikeluarkan pada 2024 dan 10 tahun mendatang, antara satu isu cabaran global adalah kos sara hidup.

“Jadi isu kos sara hidup yang semakin membebankan bukan isu yang unik untuk Malaysia tetapi dihadapi seluruh dunia,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button