Draf RUU Majlis Media Malaysia akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat – Fahmi
Draf Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung rang undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) kini dalam fasa terakhir untuk membawa perkara berkenaan ke Kabinet, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Beliau berkata, penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Insya-Allah (penubuhan Majlis Media Malaysia) tidak berapa lama lagi,” katanya ketika berucap melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan pengamal media di negara ini terbela dan Jabatan Penerangan (JaPen) diseru mempergiat pelbagai inisiatif yang akan memberi manfaat kepada golongan itu.
Fahmi berkata, satu pertemuan telah diadakan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong bagi memastikan kebajikan wartawan sambilan (stringer) terbela, khususnya menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Difahamkan daripada 9,750 pemegang kad perakuan media, lebih 6,000 adalah wartawan sambilan dan ini jumlah besar. Aspek kebajikan berkaitan KWSP, Perkeso dalam pertimbangan.
“Saya perlu sedikit masa untuk bincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa… ada sedikit berita positif untuk wartawan sambilan, berikan kami sediki masa,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi menjangkakan RUU itu yang antara lain menggariskan mekanisme kawal selia industri media dapat dibentang di Dewan Rakyat pada Mac ini.
MMC meliputi seluruh media di negara ini, iaitu media cetak, media elektronik (penyiaran) dan media internet dan bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar/media, sekali gus menjaga kepentingan negara antara lain melalui liputan yang objektif serta tidak berat sebelah.