Malaysia komited kongsi pengetahuan, teknologi akuakultur demi kepentingan bersama
Malaysia komitmen dan sedia berkongsi pengetahuan serta teknologi berkaitan bidang akuakultur dengan negara luar untuk kepentingan bersama.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu melalui satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, kolaborasi antarabangsa penting bagi memastikan pertanian negara tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi serta untuk mendepani cabaran perubahan cuaca ketika ini.
“Industri akuakultur di Malaysia merupakan industri yang berkembang pesat dengan prestasi pengeluaran yang amat baik,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamad memaklumkan, komitmen itu dizahirkan selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qu Dongyu.
Jelasnya, pertemuan dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Regional Conference for Asia and the Pacific (APRC) FAO yang diadakan di Sri Lanka.
“Inisiatif Pintar (Pelaksanaan Dan Pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat) yang telah saya gariskan sewaktu Majlis Amanat 2024 pada Januari lalu juga turut saya kongsikan bersama TYT Qu Dongyu,” tambahnya.
BACA LAGI: Usahawan myAP hasilkan produk berasaskan ikan berjaya tembusi pasaran antarabangsa
Menyentuh mengenai mesyuarat FAO yang sedang berlangsung di Sri Langka itu Mohamad berkata beliau akan memberi fokus kepada perkara-perkara yang akan diutamakan dalam sektor pertanian di Malaysia.
Beliau turut dijadualkan menberi Kenyataan Negara semasa persidangan APRC pada Rabu.