Penjawat awam tersenyum lebar, terima RM2,000 hari ini
Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak bakal tersenyum lebar hari ini.
Ia susulan kesemua mereka akan menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Pengumuman pembayaran itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 6 Februari lalu.
“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform,” kata Perdana Menteri pada majlis itu.
BACA LAGI: Jadikan bayaran insentif awal dorongan untuk penjawat awam kerja lebih kuat
Anwar berkata, bayaran Insentif Awal itu akan dibayar sekali gus bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.