Farhash fail saman fitnah RM1 juta terhadap Chegubard, Afif
Bekas Pengerusi PKR Perak memfailkan saman terhadap Chegubard, serta ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin bagi menuntut ganti rugi masing-masing RM1 juta atas dakwaan memfitnah dirinya tahun lalu.
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga seorang ahli perniagaan, memfailkan saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi pada 22 Januari lalu menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co dengan menamakan Chegubard dan Afif selaku defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Farhash mendakwa Chegubard membuat kenyataan berunsur fitnah pada sidang media sekitar 24 November tahun lalu yang mendakwa plaintif adalah Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang menjalankan agensi risikan kebangsaan dan mempunyai semua maklumat sulit berkenaan aset negara.
Farhash turut mendakwa Dr Afif membuat kenyataan fitnah terhadapnya menerusi kenyataan media pada 15 November tahun lalu kononnya plaintif mempunyai perwatakan liar dan tidak sesuai memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan.
Menurut plaintif, kedua-dua kenyataan fitnah itu yang diterbitkan di TikTok dan WhatsApp boleh menjatuhkan reputasi serta memalukan dirinya yang juga pengerusi dan pengarah beberapa syarikat termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad.
Oleh itu, plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan atau ejen mereka daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut, lapor Bernama.
Plaintif juga memohon kedua-dua defendan menarik balik kenyataan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf yang perlu diterbitkan di media elektronik dan surat khabar pilihan plaintif.
Turut dituntut, ganti rugi khas RM1 juta daripada setiap defendan dan ganti rugi am, ganti rugi pampasan dan teladan, faedah serta kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 25 Mac ini.